top of page

Ingin Mohon Pembiayaan Dalam Talian? 6 Tip Untuk Kekal Selamat!


Ingin Mohon Pembiayaan Dalam Talian? 6 Tip Untuk Kekal Selamat

Jika anda sering mengikuti perkembangan berita, pasti anda pernah terbaca kisah-kisah tentang peminjam yang diugut Ah Long untuk membayar semula hutang di mana mereka diugut dengan cat merah di depan rumah.


Di merata jalan dan kawasan perniagaan pula, terdapat banyak poster iklan “Pinjaman Wang Berlesen”. Malangnya ramai rakyat Malaysia yang tertipu disebabkan terdesak, dan akhirnya mereka diburu Ah Long.


Walaupun iklan pinjaman wang yang anda lihat menyatakan ia berlesen, sebaiknya anda lupakan niat meminjam dari pemberi pinjaman seperti ini kerana latar belakang dan operasinya yang meragukan.


Menurut portal AskLegal, pemberi pinjaman wang yang sah di Malaysia perlu memohon lesen setiap 2 tahun untuk mengendalikan perniagaan mereka di bawah Seksyen 5(2) MA.


Dan untuk makluman anda, lesen ini tidak dikeluarkan oleh Bank Negara (BNM); tetapi sebaliknya oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.


Bagaimana pula jika anda ingin mendapatkan pembiayaan secara dalam talian? Untuk membuat pengesahan sama ada pembiayaan tersebut berlesen atau tidak, anda boleh baca Senarai Institusi Kewangan Berlesen di portal BNM.


Kemudahan utama pembiayaan dalam talian



Pembiayaan Dalam Talian Tip Untuk Kekal Selamat

Tidak lama dulu, jika anda ingin memohon pembiayaan, anda hanya boleh menggunakan satu saluran saja, iaitu dengan melawat bank atau institusi kewangan, di mana anda perlu bersemuka dengan pegawai pinjaman, mengisi borang permohonan, dan menunggu jawapan yang boleh memakan masa.


Kini anda tidak perlu lagi meluangkan masa yang banyak untuk mendapatkan pembiayaan dengan adanya khidmat pembiayaan dalam talian.


Oleh kerana kebanyakan proses pembiayaan dalam talian telah diautomatikkan, anda boleh melalui proses pengunderaitan (underwriting) dan menerima dana dengan lebih cepat berbanding saluran tradisional.


6 tip untuk kekal selamat apabila memohon pembiayaan dalam talian


Pembiayaan dalam talian yang selamat biasanya ditawarkan oleh pemberi pinjaman yang sah di mana mereka perlu memenuhi peraturan pinjaman yang ketat yang sama seperti bank dan institusi kewangan tradisional.


Sebelum anda membuat sebarang permohonan pembiayaan dalam talian, pastikan anda ikuti beberapa tip berikut untuk kekal selamat:


Semak latar belakang pemberi pinjaman


Sentiasa pastikan anda tahu dengan siapa anda berkongsi maklumat peribadi dan sulit sebelum anda memberikannya. Pemberi pinjaman dalam talian yang bereputasi dan boleh dipercayai tidak akan meminta anda membayar wang pendahuluan untuk memberi anda pinjaman.


Data yang disulitkan (data encrypted)


Pastikan browser anda selamat. Untuk menjaga transaksi dalam talian, gunakan perisian penyulitan agar ia tidak disebarkan sewenang-wenangnya di internet. Perhatikan alamat laman web dan semak bar status sama ada terdapat ikon "kunci" atau tidak.


Jika ada, laman web itu selamat dan maklumat peribadi dan sulit anda boleh dikongsi dengan selamat. Jadi, sebelum anda mula menghantar sebarang maklumat peribadi, pastikan terdapat ikon kunci.


Buat/guna kata laluan yang kukuh


Sentiasa buat/gunakan kata laluan yang kukuh di mana jua laman web yang anda layari untuk melaksanakan sebarang transaksi. Kata laluan yang kukuh boleh membantu melindungi maklumat anda daripada dicuri.


Contoh kata laluan yang kukuh ialah "Mister-Duckie@66<3Coffee". Ia panjang, mengandungi huruf besar, huruf kecil, nombor dan aksara khas. Ia adalah kata laluan unik yang dicipta oleh penjana kata laluan rawak, dan ia mudah diingati. Kata laluan yang kuat tidak boleh mengandungi maklumat peribadi.


Lihat jika terdapat apa-apa perkara yang mencurigakan


Banyak sindiket penipuan di mana laman web mereka kelihatan seakan-akan syarikat yang sah dan mendakwa bahawa mereka adalah pemberi pinjaman yang berlesen.


Tinjau laman web tersebut dan cuba cari apa-apa yang mencurigakan, seperti ketiadaan nombor lesen, dasar privasi, atau maklumat untuk dihubungi (seperti alamat pejabat dsb.).


Buat semakan emel pengesahan


Semak emel pengesahan anda untuk memastikan ia datang dari domain yang sama dan nama syarikat yang dipercayai dan bukan daripada alamat emel kumpulan seperti Hotmail, Gmail atau Yahoo.


Amaran dari browser


Jika browser yang anda guna telah memberi amaran kepada anda bahawa laman web yang anda ingin layari mempunyai sijil keselamatan yang telah tamat tempoh atau tidak selamat – percayalah kepada amaran tersebut dan jangan layari laman web itu.


Tanda penipuan yang paling nyata sekali ialah apabila pihak pemberi pinjaman dalam talian itu meminta anda untuk membayar wang pendahuluan sebelum mendapatkan pembiayaan. Yuran pendahuluan biasanya merupakan tanda utama pembiaya dalam talian itu tidak sah dan berlesen. Semua pemberi pinjaman yang sah dilarang beroperasi seperti ini.




16 lihatan0 komen

Siaran Terkini

Lihat Semua
bottom of page