Walaupun industri kewangan dan perbankan Islam semakin melonjok dari sudut populariti, masih terdapat banyak mitos mengenainya yang dipercayai oleh masyarakat.
Dunia kewangan Islam sedang melalui perkembangan pesat. Produk-produk yang ditawarkan oleh industri ini sedang melonjak dari sudut populariti.
Pada tahun 2020, perbankan Islam telah mengalami peningkatan tahunan sebanyak 8.5% berbanding perbankan konvensional yang hanya mengalami peningkatan sebanyak 0.5%. Seterusnya, menurut laporan Fitch Ratings, pembiayaan Islam di negara ini sudah mencapai 37% daripada pasaran pada penghujung tahun 2020. Ini adalah peningkatan ketara berbanding angka 5.3% pada tahun 2000.
Di antara produk kewangan Islam yang paling mendapat sambutan adalah pembiayaan Islam dan perlindungan Takaful.
Mitos 1: Pembiayaan Islam adalah sama dengan pinjaman konvensional
Secara mudahnya, pembiayaan Islam adalah pembiayaan kewangan yang patuh syariah. Ini bermakna ia bebas daripada unsur yang tidak beretika termasuk riba (kadar faedah berganda yang membebankan), gharar (penipuan), maysir (perjudian) dan zulm (amalan tidak berakhlak).
Mengikut pinjaman kewangan konvensional, pemberi pinjaman akan memberi pinjaman kepada peminjam dan memperoleh keuntungan daripada caj faedah yang dikenakan ke atas jumlah prinsipal.
Ini berbeza dengan perbankan patuh syariah dimana konsep ‘pinjaman’ adalah tidak betul. Sebaliknya, istilah dan terma tepat yang digunakan adalah ‘pembiayaan’. Ini kerana pihak pembiaya akan ‘membeli’ barangan untuk pelanggan dan kemudian menjualnya kepada mereka pada harga yang telah dipersetujui.
Mengikut konsep ini, tidak ada wang yang sebenarnya dipinjamkan kepada pelanggan. Ini menjadikan pembiayaan patuh syariah bebas dari unsur riba (faedah).
Di sebalik lonjakan populariti, masih terdapat banyak mitos yang dipercayai masyarakat mengenai pembiayaan Islam.
Mitos 2: Pembiayaan Islam hanya untuk golongan Muslim
Ini merupakan mitos atau kekeliruan terbesar mengenai pembiayaan Islam. Walaupun ia mematuhi hukum-hukum syariah, ia terbuka kepada semua lapisan masyarakat.
Sebenarnya, sudah semakin ramai golongan non-Muslim memilih untuk menggunakan produk-produk kewangan Islam, termasuklah pembiayaan. Di antara faktor yang memikat mereka termasuklah:
Kewangan Islam lebih adil dan terlindung dari risiko yang keterlaluan
Seperti yang dinyatakan sebelum ini, pembiayaan patuh syariah bebas dari unsur ‘gharar’. Walaupun tidak mempunyai definisi yang khusus, gharar adalah sebarang unsur syak, keraguan, ketidaktentuaan, atau ketidak jelasan.
Gharar boleh timbul daripada aspek-aspek berikut:
sama ada sesuatu barangan yang ditransaksikan itu wujud atau tidak
sama ada sesuatu barangan yang ditransaksikan itu mampu diserahkan ataupun tidak
kaedah transaksi itu dilaksanakan secara yang tidak jelas tetapi menarik perhatian sehinggakan mungkin wujud elemen penipuan bagi menarik pihak-pihak untuk bertransaksi
akad atau kontrak yang mendasari sesuatu transaksi itu sendiri sifatnya tidak jelas
Oleh sebab itu, produk yang menepati ciri-ciri kewangan Islam bukan sahaja lebih adil tetapi juga lebih terlindung daripada penipuan dan risiko yang keterlaluan.
Konsep financial inclusion
Selain daripada riba dan gharar, pembiayaan patuh syariah juga bebas daripada unsur maysir (perjudian) dan zulm (amalan tidak berakhlak).
Maka, ketiadaan unsur-unsur ini dalam kewangan Islam menjadikannya lebih adil dan mudah untuk digunakan oleh semua lapisan masyarakat, terutamanya bagi golongan yang berpendapatan rendah. Inilah konsep yang digelar financial inclusion. Menurut Bank Dunia, financial inclusion dapat membantu mengembangkan ekonomi setempat dan global dengan lebih pesat lagi.
Mitos 3: Pembiayaan Islam lebih menguntungkan kerana tidak perlu bayar faedah
Walaupun tiada unusr riba dalam pembiayaan Islam, masih terdapat caj yang dikenakan iaitu caj perkongsian kadar keuntungan atau profit rate. Jumlah kadar keuntungan yang dikenakan adalah daripada jualan aset (wang pembiayaan) kepada pembeli (pemohon).
Pembiayaan Islam sebenarnya lebih menguntungkan berbanding pinjaman konvensional dari sudut berikut:
Lebih adil dan terlindung dari risiko yang keterlaluan
Konsep financial inclusion
Lebih terlindung dari krisis ekonomi
Amaun bayaran yang jelas dan tetap
Caj bayaran lewat yang lebih rendah
Perlindungan Takaful
コメント