Sekiranya anda masih baru dalam dunia pelaburan, anda boleh mulakan langkah dengan pelaburan berisiko rendah berikut!
“Sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit”. Semua sudah biasa dengan peribahasa tersebut, bukan? Walaupun ia boleh digunakan dalam pelbagai situasi, ia lebih sinonim dikaitkan dengan kegiatan menabung.
Namun, metafora bukit yang dimaksudkan boleh menjadi realiti dengan kadar yang lebih segera sekiranya kegiatan menabung atau menyimpan secara tradisional digantikan dengan pelaburan.
Kelemahan akaun simpanan biasa
Pada zaman datuk dan nenek kita dahulu, kegiatan menyimpan sering dikaitkan dengan tabung. Wang yang dikumpul disimpan di dalam tabung yang kemudiannya diletakkan di satu sudut rahsia dan selamat di dalam rumah. Malah, pada zaman tersebut, ada yang sekadar menyimpan wang di bawah bantal, tikar, atau dalam lipatan baju sahaja!
Namun, sejajar dengan edaran masa, sebarang hasil tabungan kini di simpan di dalam akaun simpanan yang dibuka di mana-mana cawangan bank. Ini ditambah pula dengan realiti di mana kita berada di zaman masyarakat tanpa tunai (cashless society) iaitu keadaan di mana penggunaan dan kebergantungan terhadap wang fizikal dalam kalangan masyarakat adalah kurang. Sebaliknya, kebanyakan transaksi jual beli adalah melibatkan kad kredit atau debit dan juga kaedah digital seperti e-dompet dan perbankan internet. Ini menjadikan akaun simpanan di bank satu kewajiban..
Namun akaun simpanan bank ini mempunyai satu kelemahan yang ketara iaitu ia sukar untuk menjana keuntungan. Hasil yang anda dapati hanyalah nilai terkumpul hasil simpanan anda. Ini berbeza jika dibandingkan dengan akaun simpanan berbentuk pelaburan!
3 pilihan akaun simpanan yang biasa kita dengar
Secara umumnya, sekiranya anda ingin membuka akaun simpanan di bank, anda mempunyai tiga pilihan, iaitu:
Akaun simpanan biasa
Akaun ini adalah yang akaun yang biasa digunakan untuk menyimpan oleh orang ramai. Malahan, sebarang bayaran gaji atau transaksi kewangan adalah melibatkan akaun jenis ini. Ia membolehkan anda menyimpan dan mengeluarkan wang pada bila-bila masa. Wang yang disimpan di dalam akaun ini juga mampu menjana keuntungan melalui faedah. Bagaimanapun, kadar ini adalah rendah dan tidak signifikan.
Akaun semasa
Akaun ini juga dikenali sebagai Akaun Cek kerana mempunyai kemudahan membuat bayaran menggunakan cek. Akaun simpanan jenis ini biasanya digunakan oleh syarikat atau mereka yang berniaga. Perbezaan utama yang terdapat pada akaun jenis ini adalah tiada keuntungan faedah yang diberikan terhadap wang simpanan. Selain itu, ia memerlukan baki minimum yang lebih tinggi untuk dikekalkan berbanding dengan akaun simpanan.
Akaun deposit tetap
Akaun deposit tetap ialah sejenis akaun pelaburan atau simpanan di bank yang menjanjikan pelabur satu kadar faedah yang tetap. Sebagai balasan, pelabur bersetuju untuk tidak mengeluarkan dananya dalam jangka masa yang ditetapkan.
Tempoh simpanan bagi akaun deposit tetap adalah fleksibel kerana anda boleh memilih tempoh dari satu bulan sehingga lima tahun. Setiap tempoh atau jangka masa memberi kadar faedah yang berbeza. Lebih lama tempoh pelaburan maka lebih tinggi kadar faedah yang pelabur dapat.
Deposit tetap adalah pelaburan berisiko rendah yang menguntungkan!
Seperti yang dinyatakan, akaun semasa kebiasaannya digunakan oleh syarikat. Lantaran itu, perbandingan yang lebih sesuai dibuat adalah di antara akaun simpanan biasa dan simpanan tetap.
Akaun deposit tetap mempunyai kelebihan-kelebihan berikut:
Kadar faedah (keuntungan) yang lebih tinggi – deposit tetap mempunyai kadar faedah secara purata sebanyak 3% setahun. Secara perbandingan, kadar faedah bagi akaun simpanan biasa adalah sekitar 0.3% - 0.5% sahaja.
Jaminan pulangan pelaburan -- tidak seperti pelaburan dalam pasaran saham atau pasaran komoditi, deposit tetap menjamin wang simpanan anda dikembalikan pada akhir tempoh simpanan.
Potensi pendapatan tetap – faedah dari deposit tetap diberikan secara bulanan, suku tahunan, atau tahunan (bergantung kepada bank). Sesetengah bank membenarkan anda simpan atau pindahkan faedah yang diperolehi ke akaun pilihan anda.
Dilindungi dari kerugian inflasi – kadar faedah yang kompetitif boleh membantu mengimbangi kadar inflasi tahunan.
Anda masih memerlukan akaun simpanan biasa bagi tujuan pengeluaran wang apabila anda memerlukannya dengan segera. Namun, melihat kepada kelebihan-kelebihan yang terdapat pada akaun deposit tetap, adalah menjadi satu kerugian sekiranya anda tidak menggunakan sebahagian wang tabungan anda untuk disimpan di dalam akaun deposit tetap!
Deposit tetap Islam memberikan kelebihan berganda!
Ketiga-tiga jenis akaun simpanan yang dinyatakan di permulaan artikel juga ditawarkan oleh perbankan Islam. Bagaimanapun, semua kegiatan mesti memenuhi kehendak dan peraturan syariah (hukum-hukum Islam).
Perbankan Islam tidak mengamalkan konsep faedah (riba) kerana ianya bertentangan dengan hukum syariah. Sebagai ganti, konsep murabahah digunakan. Ini merujuk kepada kadar keuntungan yang telah ditetapkan. Bagi memastikan pelaburan ini mematuhi syariah, kedua-dua pihak (bank dan pelabur) perlu mengetahui dari awal mengenai kos dan kadar keuntungan.
Di antara kelebihan yang dimiliki perbankan Islam berbanding perbankan konvensional adalah seperti berikut:
Lebih adil dan terlindung dari risiko yang keterlaluan
Lebih terlindung dari krisis
Amaun bayaran yang jelas dan tetap
Caj bayaran lewat yang lebih rendah
Comments